Saya mula menjalani rawatan haemodialisis pada Mac 2004. Lebih tepat lagi, sebulan selepas saya dan isteri bernikah. Memang kami dah tahu awal-awal lagi yang saya dijangka akan mula menjalani rawatan haemodialisis dalam tempoh tersebut kerana bacaan kreatinin dalam darah amat merosot waktu itu.

Dan pada waktu itu juga, saya masih ingat setiap kali selepas balik daripada menjalani rawatan haemodialisis, isteri saya akan suarakan niat untuk mendermakan satu daripada buah pinggang beliau kepada saya. Mungkin kasihan melihat kondisi saya yang nampak agak letih selepas menjalani rawatan haemodialisis.

** Bagi pesakit yang baru menjalani rawatan haemodialisis, saya mahu anda tahu yang rasa letih selepas menjalani rawatan haemodialisis itu adalah biasa. In shaa Allah, badan anda akan semakin biasa dengan keadaan tersebut dari masa ke semasa. Apa yang penting, anda perlu sabar dan kuat dari segi mental, fiizikal dan semangat.

Tapi, waktu itu saya menolak niat isteri saya. Alasannya.. biarlah sekurang-kurangnya kami mendapat seorang zuriat terlebih dahulu. Isteri saya biasanya akan diam selepas saya menolak tawaran tersebut.

Itu cerita lebih kurang 13 tahun yang lepas.

Saya tak dapat menolak lagi niat isteri saya untuk mendermakan satu buah pinggang beliau apabila saya dimasukkan ke wad akibat daripada mengalami keadaan tekanan darah tinggi yang agak teruk sekitar 3 atau 4 tahun yang lepas sehingga doktor mengesahkan saya terkena minor strok pada masa itu.

Selepas saya keluar wad, ( saya masih ingat tangan saya dipimpin oleh anak-anak saya yang masih kecil semasa melangkah keluar dari wad – dan situasi tersebut membuatkan saya perlu berfikir semula mengenai tawaran isteri saya demi untuk keluarga saya terutamanya anak-anak yang masih kecil ).

Akhirnya, kami berbincang semula mengenai niat isteri saya.

Maka, bermulalah perjalanan transplant work-up saya dan isteri..

Bersambung….

 

 

 

error: Content is protected !!